http://picasion.com/

Thursday, August 11, 2016

Modul Pemikiran Komputasional , Sains Komputer Mulai Tahun 2017

Mulai Januari tahun ha­dapan, modul Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer akan diintegrasikan ke dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan memberi manfaat kepada 1.2 juta pelajar dari 10,173 sekolah seluruh negara.
Katanya, modul Pemikiran Komputasional akan disepadukan dalam semua subjek di sekolah rendah secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu pada tahun depan, tahun dua pada 2018 dan seterusnya.

“Sains Komputer pula akan ditawarkan di sekolah menengah bermula dengan pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat pada tahun depan. Dengan ini, adalah menjadi harapan saya bahawa generasi muda kini akan menjadi ahli sains komputer terkenal yang akan membuat Malaysia bangga.
“Pemikiran Komputasional me­ngajar pelajar tentang pengetahuan reka bentuk, pemikiran logik dan menyelesaikan masalah. Semua ini adalah kemahiran berharga yang diperlukan sebagai tulang belakang bagi ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pergerakan #mydigitalmaker di Sekolah Sultan Alam Shah, Presint 1, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendi­dikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan, Pengerusi MDEC, Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood.
Mengulas lanjut, Najib memberitahu, faktor utama kejayaan dalam pelaksanaan kurikulum baharu tersebut terletak pada kesediaan golongan pendidik di negara ini yang meliputi golongan pengetua, guru besar dan guru.

“Saya difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan dan MDEC sedang bekerjasama untuk mempersediakan pendidik kita bagi kurikulum baharu ini,” katanya.
Jelas beliau, sebanyak 9,200 guru kini sedang menjalani latihan berhubung kurikulum baharu Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer berkenaan khususnya melibatkan pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat.

“Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer juga sedang diintegrasikan ke kolej latihan guru dan Institut Aminuddin Baki yang melatih golongan pengetua dan guru besar. Pada masa depan, semua guru menamatkan pengajian di kolej latihan guru akan dilengkapi dengan kemahiran ini,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, pendekatan ke arah memperkasakan pembelajaran digital berkenaan juga adalah selaras dengan amalan banyak negara lain malah, ia merupakan satu fenomena global.
Tambah beliau, negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia telah pun mengintegrasikan pembelajaran Sains Komputer di sekolah-sekolah mereka manakala, Jepun dan Indonesia berada dalam pro­ses kajian.

“Saya juga difahamkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang merintis kurikulum ini dalam sistem pendidikan kita. Pemikiran Komputasional dan kurikulum Sains Komputer telah dirintis oleh 24 sekolah pada tahun lalu dengan penglibatan 660 pelajar dan 50 guru,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Automatic Notification

Enter your email address to receive new updates :

Please check your 'JunkMail' or 'Spam' if you do not receive the confirmation email in your Inbox